Saturday, January 24, 2009

Soalan untuk Tok Guru

Berikut adalah sedutan dialog antara Marc Barety (Presiden EC) dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kompleks Kerajaan Kota Darul Naim seperti dicatatkan Setiausaha Politik Menteri Besar, Annual Bakri Haron.

Marc Barety:
Memulakan persoalan, Tuan Guru diminta supaya menjelaskan apa-apa pencapaian yang mungkin dapat dikongsikan sepanjang 18 tahun mentadbir kerajaan negeri.

Tuan Guru Nik Aziz:
Terima kasih kembali kepada tuan-tuan yang sudi mengunjungi sebuah negeri yang memilih untuk berbeza dari parti yang memerintah Malaysia di peringkat Pusat. Sebenarnya, saya bukan sengaja memilih untuk berbeza semata-mata kerana ingin atau gemar untuk berbeza. Kami membuat pilihan ini untuk “mendidik atau lebih tepat mengajar” kepada seluruh rakyat bahawa Islam itu begini. Demokrasi itu begini
Seawal-awalnya kita perlu faham bahawa bumi ini kepunyaan Allah. Dialah Tuhan kita dan Dialah Yang Maha Pencipta. Dia yang membuat semua ini. Jika manusia kata manusia tercipta lebih dahulu, lalu manusia mencipta alam, maka di mana pula manusia awal itu tinggal. Jika dia berada di atas tanah, siapa yang mencipta tanah? Jika dia kata dia berada di udara, maka siapa pula yang mencipta udara? Siapa yang mencipta oksigen untuk manusia itu bernafas?
Mustahil alam dan bumi ini terjadi dengan sendiri. Ini kerja Allah. Dari-Nya jua segala planet dan alam ini berasal. Oleh kerana itu, maka Allah sahajalah yang berhak menurunkan perintah dan larangan dalam sebuah sistem hukum, undang-undang dan peraturan.
Ia dimuatkan ke dalam al-Quran. Untuk melengkapkan ia menjadi sebuah manual bertindak sebagai pengatur yang bersifat how to use maka Allah turunkan Nabi Muhammad s.a.w.. Nabi inilah yang menterjemahkan segala peraturan yang disebut sunah - untuk diikuti dan dicontohi akhlaknya atau bagaimana untuk hidup sebagai seorang hamba yang menumpang muka bumi yang dimiliki oleh Allah ini.
Ertinya, saya atau kami seluruh rakyat Kelantan memilih Islam demi untuk membetulkan landasan hidup. Saya mentadbir negeri ini dari sejak 1990 atas nama Islam untuk mengembalikan perjalanan hidup manusia dari landasan yang salah yakni mengabdikan diri sesama makhluk melalui pelbagai isme ciptaan kepada mengabdikan diri kepada Allah Yang Maha Pencipta semata-mata. Disamping itu, kami datang untuk membetulkan dan memulihkan demokrasi yang telah dengan teruknya dikhianati.
Dengan agenda sebesar itu, kami mula bergerak perlahan-lahan. Mula-mula saya perintahkan semua simpanan wang kerajaan dipindahkan ke dalam Bank Islam. Ini dilakukan untuk mengelakkan kerajaan berlanggan dengan sistem ekonomi yang menindas yang dilandasi riba. Riba ini sebenarnya penghisap darah. Sejurus selepas itu, saya didatangi oleh satu rombongan pengurus-pengurus bank yang merayu saya tidak berbuat demikian. Saya menjawab bahawa tidak ada apa yang salah mengenai saya tetapi yang salahnya ialah tuan-tuan dan dasar kapitalis yang menindas hasil amalan bank tuan-tuan. Mereka senyap.
Dari sinilah bermulanya era pengislaman bank-bank di Malaysia. Semakin banyak bank-bank yang mula membuka dua kaunter. Kini, sudah semakin banyak bank-bank yang beroperasi menggunakan instrumen kewangan Islam sepenuhnya. Lebih kurang dua bulan yang lepas misalnya, saya dijemput untuk merasmikan pembukaan Hong Leong Islamic Bank. Menjawab persoalan tuan; maka ini semua berupa pencapaian.
Satu lagi perkara ialah kita tidak berminat untuk membesar-besarkan faktor bangsa. Apa yang saya perbesarkan ialah perihal bersamanya kita semua ini kerana kita datang dari keturunan yang satu yakni Adam dan Hawa. Kita berada dalam sebuah keluarga yang besar, yang bertolak dari benih dan keturunan Adam yang sama. Dengan ini, saya menyemai perasaan kasih sayang, perasaan kebersamaan dan adik beradik. Tidak timbullah dasar dan amalan menindas dan berkembangnya perasaan curiga, dengki mendengki yang menekan dan mendiskriminasi. Di sini, kita telah berjaya meruntuhkan tembok tebal yang memisahkan kita sesama kita sekian lama. Sebaliknya, kita semai perasaan hormat menghormati, saling bantu-membantu, hidup tolong menolong dan berbantu simpati.
Inilah latarbelakang kepada timbulnya program-program seperti kifaalah, skim bantuan armalah, ladang rakyat dan pelbagai lagi program ‘mesra rakyat’ demi membantu kumpulan sasar yang terdiri dari golongan bawahan dan fakir miskin. Ambillah contoh kifaalah sebagai misal. Bagi setiap kematian yang melibatkan rakyat kami yang berusia 60 tahun ke atas, bantuan sejumlah RM2,500 secara automatik diberikan. Istimewanya program ini ialah ia disumbangkan tanpa mengira perbezaan agama, bangsa, bahasa dan keturunan. Inilah contoh dan bukti dasar-dasar non-diskriminasi yang kami maksudkan.
Dalam masa yang sama, saya selalu membuat kenyataan bahawa untuk menjadi Menteri Besar Kelantan, orang itu bagi saya tidak perlu seorang Melayu. Dia boleh jadi seorang berketurunan Cina atau India asalkan dia seorang yang warak, bertakwa dan alim. Semua faktor ini menjadi punca kepada cenderungnya pengundi bukan Islam memberi undi kepada calon Islam dari parti PAS dalam pilihan raya yang lalu.

Boleh Tuan Guru memberi satu liputan mengenai projek-projek pembangunan dalam sektor perumahan, perbandaran dan perhotelan dalam konteks industri pelancongan?

Kerajaan negeri tidak akan menghalang mana-mana negara luar yang ingin melabur dalam sektor perhotelan dan industri asalkan ianya tidak melanggar peraturan teras dari negeri ini. Umpamanya dalam bidang perhotelan, mereka mestilah tidak menyediakan kemudahan berjudi, minuman beralkohol dan pelbagai kegiatan maksiat. Untuk kegiatan judi pula, kami haramkan seratus peratus kerana ia aktiviti yang cukup tidak sihat. Orang bodohpun boleh menang manakala orang intelek pula boleh menjadi kalah dan papa kedana. Ia permainan yang tidak menggunakan akal dan membunuh ikhtiar. Bagi minumam arak dan alkohol, ini kita kawal. Kita kawal pemberian lesen premis kerana menghormati budaya hidup non-Islam.
Bagi projek perumahan, kita kenakan syarat minimum untuk pemaju membina rumah tiga bilik sekurang-kurangnya. Ini untuk mengasingkan tempat tidur ahli keluarga berasaskan perbezaan jantina antara ketua keluarga, anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan selaras dengan anjuran Nabi Muhammad s.a.w..

Besok akan berlangsung sebuah mesyuarat penting antara ketua-ketua negara EU untuk mencari langkah-langkah sesuai dalam menangani isu kemelesetan ekonomi dunia. Dalam konteks Kelantan, apakah ada terdapat sebarang langkah untuk menghadapi ancaman dari masalah ekonomi ini?

Pada saya, ekonomi tidak bermasalah tetapi manusia yang bermasalah dan sedang dengan sengaja menimbulkan masalah. Jika dikaji punca sebenar, ia boleh bermula dari pertemuan yang teramat sulit yang pernah diatur oleh enam orang banker di Jekylls Island. Dipengerusikan oleh Senator Aldrich dan dihadiri oleh tokoh-tokoh bank yang mewakili Rockefeller, Morgans, Warburgs dan Rothchilds; mereka memutuskan untuk menubuhkan Federal Reserve System. Inilah punca awal kepada wujudnya wang Fiat yang dicetak tanpa diasaskan kepada sandaran emas.
Wang Fiat dicipta dan dicetak dari kegiatan memberi hutang (money is created from debt). Kemunculan sistem ekonomi kapitalis yang membawa elemen riba dan bunga ini adalah satu bentuk penindasan sebenarnya. Dengan pelbagai instrumen kewangan, ia menindas massa. Umpama lintah darat, riba memeras dan menghisap darah. Yang kaya melakukan monopoli untuk terus kaya dan semakin kaya manakala yang miskin pula akan terus dimiskinkan.
Dia akan terus menerus ditindas untuk akhirnya menjadi papa kedana. Sebenarnya, jika tidaklah kerana ketamakan dan kerakusan, segala kesenangan yang disediakan oleh Allah SWT ini memang mencukupi. Ia cukup untuk kegunaan semua. Masalah yang ada adalah penyakit tamak. Kapitalis yang mengaut, membolot dan membuli. Krisis kewangan dunia ini berpunca dari sini.
Sedangkan dalam agama Islam, Allah melarang duit membuat duit. Mana boleh kita duduk diam-diam, tiba-tiba duit datang berterusan. Itu namanya riba. Sebab itulah Kelantan dari awal lagi bila nak bagi pinjaman pada kakitangan untuk pembelian rumah, kenderaan dan komputer, mereka tidak dikenakan riba dan ini amat menyenangkan hati rakyat negeri ini. Ini satu contoh kecil bagaimana kami boleh menjawab soalan tuan tadi.
Dalam Islam, ayat al-Quran yang paling panjang ialah ayat-ayat yang menghuraikan isu ekonomi. Ini membuktikan bahawa agama Islam ini lengkap. Ia satu sistem yang mampu diamalkan. Bahkan ia adalah formula mutlak yang terbaik; penyelesaian dan jawapan kepada segala perkara.

Saya mahu tanya satu soalan politik tempatan. Saya perhatikan PAS, DAP dan KeADILan mempunyai perbezaan dasar parti yang cukup ketara. Tidakkah ini sebuah kesukaran untuk berlakunya persefahaman yang kordial?

Menyentuh tentang masalah hubungan dengan DAP misalnya. Saya lihat, itu mungkin dulu. Kini, saya tidak fikir demikian. Tidak lagi. Dulu misalnya, mereka agak cenderung melihat kami ini ada membawa pengaruh Taliban. Kini saya lihat sudah ada perubahan sikap. Mereka lebih banyak cuba memahami.
Dalam banyak contoh yang ditunjukkan, saya dapat lihat mereka semakin terbuka hasil dari bertambahnya kefahaman. KeADILan pun sama. Paksi perjuangan mereka adalah keadilan. Ini cukup selaras dengan perjuangan Islam yang menjadi teras perjuangan PAS. Tiada erti Islam itu jika tiada keadilan. Jadi sekali lagi, kita menjangkakan kita tiada masalah.

Diambil dr Harakahdaily

No comments: