Monday, July 26, 2010

Ke mana pergi subsidi kami?

Ke mana pergi subsidi kami?
(Dr Mohd Asri Zainul Abidin)


kalian rampas subsidi kami, entah ke mana dibawa lari
kalian beritahu, wang mesti dicatu, kita menuju maju...
kalian kata: jika tidak, semua menderita, habis harta negara...
kalian berbahasa: bukan barang naik harga, cuma subsidi turun sahaja...

kami orang desa, mungkin tidak pandai kira berjuta-juta. ..
kami orang kecil kota, mungkin tiada sedemikian harta...
jika kalian tipu sebegitu, biasanya kami diam selalu...
tapi dapatkah kami dibohongi, tentang suapan saban hari?

apalah yang dapat diberitahu anak ke sekolah?
papa semakin parah? wang semakin lelah?
jika semalam berlauk, hari ini cuma berkuah...
kerana kerajaan kita sedang susah?
maka subsidi kita terpaksa diserah...
jika semalam kau makan sepinggan, hari ini saparuh
kerana barang makin angkuh, wang papa makin rapuh...
apa yang dapat dibisik pada anak berkopiah ke madrasah?
makananmu sayang, sebahagiannya sudah hilang...

jika mereka bertanya siapa yang bawa lari
kepada siapa patut kami tuding jari?
janganlah nanti mereka membenci pertiwi...
akibat pencuri harta bumi rakyat marhaen ini..
atau kami jadi insan curang...
kami beritahu; cuma subsidi sahaja yang kurang?
tiada apa yang hilang, nanti akan datang wang melayang...
dengar sini wahai yang tidak memijak bumi!
pernahkah kalian mengintipi kehidupan kami...
pernahkah kalian ngerti makna derita dan susah hati...
kami yang semput bagai melukut di kota kedekut
kami yang bekerja hingga senja di desa yang makin terseksa
bertarung nyawa dan masa, menghitung setiap belanja

pernahkah kau merasa?
rumah bocor yang lanjut usia...
baju dan kasut anak yang koyak
tinggal dalam rumah yang berasak-asak
siang kami sebak, malam kami sesak...

sedangkan kalian manusia angkasa...
istana permata dibina, kereta berjuta dirasa...
elaun di serata, dari isteri sehingga seluruh keluarga...
hidangan istimewa, konon meraya kemakmuran negara...

tapi kami masih di sini..di teratak ini...
dengan lauk semalam..
dengan hidangan yang tidak bertalam...
dengan rumah yang suram...
dengan wang yang hampir padam...

tiada istana lawa...
tiada kereta berharga...
tiada layanan diraja..
tiada baju bergayati
tiada kediaman menteri...
tiada hidangan vip...
tiada persen di sana-sini...
tiada bahagian anak dan bini...


tiba-tiba kalian kata: kamilah beban negara...
aduhai celaka bahasa yang kalian guna...
kalian yang belasah, kami yang bersalah...
kalian buat untung, hutang kami tanggung...
kalian mewah melimpah, kami susah parah
kalian hilangkan wang, poket kami yang terbang...

kalian bina istana, rumah kami jadi mangsa...
kalian makan isi, kami dijadikan abdi...

lantas, kalian rampas lagi subsidi...
ke mana wang itu pergi nanti?
jika kalian berhati suci, wajib mengganti buat kami...
jika tidak pun buat gula konon merbahaya
mengapa tidak beras diturun harga?

jika tidak untuk minyak kereta...
mengapa tambang tidak potong sahaja...
tapi entah berapa kali janji...
konon: nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti...
hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi...
kami terus termanggu di sini...
kalian juga yang nikmati...
kami hanya menggigit jari...

kembalikanlah kepada kami harta negara...
jangan hanya kalian sahaja yang merasa...



Saturday, July 10, 2010

Dipusara bonda

ibu
saat aku mengunjungimu
dingin pagi masih terasa
embun nipis masih membasahi
dedaun kemboja meredupi kamarmu
merah tanah masih belum pudar
angin sepi menjamah pipi
sunyinya kurasa
rindunya padamu.

Sunday, June 20, 2010

Selamat Hari Bapa

Selamat hari bapa
buat bapaku
buat semua insan yang bergelar bapa
buat aku juga...

tiada yang istimewanya hari ini
tiada sambutan
juga tidak diwawarkan

Tapi buat bapa2 seperti ku
jasa dan pergorbanan kami
bukan untuk disanjung
juga bukan untuk dinilai
jerit perih dan keringat
yang menitis
biar kami yang menanggung
tak perlu kau tahu anak2ku
akan kami laksanakan tanggungjawab ini
sebaik mungkin
selagi hayat masih ada....

Wednesday, June 16, 2010

Mata siapa yang tidak pernah menangis

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang
Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di
kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan
beberapa karya Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak
keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu
menjadi amat dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan
seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini
masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika
hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca
sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu
kepada anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama
kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi
meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan
itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa
pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan
memberikan risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga"
ada pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai
jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke
mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun
gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan
mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak
itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya
sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu
itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya
daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini
diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya
pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH
amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini
hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang
paling bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam
memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya "Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan
ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun
sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan
seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya
keseorangan dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak
matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri.
Jadi
saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga
menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan
hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk
terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada
anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab.
Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng
ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng
ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan
terus pergi ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik,
maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat
sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang
paling indah yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup
pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan
tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat
asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang
menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat
alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak
disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya
ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula
yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya
yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada
anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu
anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang
seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada
makhlukNya yang penyayang

Wednesday, June 2, 2010

Doa ku

saat aku berdoa dan berzikir
memohon keampunan dan keredaanmu Allah
buat arwah ibuku
lalu terdetik dihati
sudah banyak doaku
sudah banyak zikirku
padahal sekiranya aku berdoa
dan berzikir sepanjang hidupku
belum tentu dapat membalas
segala jasa dan pengorbananmu
ibuku.


Sunday, April 4, 2010

Litar Sepang dan kertas A4

Baru sekejap tadi aku dengar kat berita dalam TV , kerajaan akan mengeluarkan peruntukan berpuluh juta untuk memperbaiki litar sepang. Bangganya pemimpin2 kita bercerita pasal litar kebanggaan ni, puluhan ribu pulak orang yang datang menonton. Kalau ikut kira2 aku mestilah banyak untung tu, tapi kenapa pulok kerajaan yang kena keluarkan duit nak me'repair' litar tu, pukuhan juta lak tu...duit sapa tu....

Pagi tadi aku pergi kesekolah, ada perjumpaan dengan guru anak aku. Dalam surat jemputan dinyatakan agar ibubapa membawa se'rim' kertas A4 untuk didermakan kepada pihak sekolah. Sekolah tak cukup duit nak beli kertas. Aku ikhlas menderma tapi sakit hati ingatkan pemimpin2 yang 'hipokrit'ni, cakap kat depan TV semuanya OK, tapi disebaliknya...